RAMADAN disebut Allah sebagai Syahrul Quran kerana padanya diturunkan al-Quran, mukjizat terbesar dan teragung Ilahi kepada Rasulullah saw, sekali gus kitab pedoman hidup bagi umat manusia.
Al-Quran yang padat dengan wahyu Ilahi seumpama sinaran cahaya yang menerangi kehidupan manusia sejagat ke arah kesejahteraan hidup dunia dan kebahagiaan akhirat. Justeru, sesiapa yang berpegang teguh dengan segala ajaran yang terkandung dalamnya, maka dia akan berbahagia. Sebaliknya, sesiapa yang menolak atau meninggalkan ajaran al-Quran, maka dia termasuk dalam kalangan manusia yang tersesat. Dalam hal ini, Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan bahawa sesiapa yang tidak membaca al-Quran bermakna dia telah meninggalkannya (menjauhkannya). Begitu juga sesiapa yang membaca al-Quran, tetapi tidak pula memahami maknanya, dia juga telah meninggalkan al-Quran.Sesiapa yang membaca al-Quran dan telah memahami maknanya, tetapi tidak mengamalkannya pula, dia tetap juga telah meninggalkan al-Quran.
Sehubungan itu, kehadiran Ramadan ini sewajarnya dijadikan anjakan terbaik dan peluang keemasan Muslim untuk merenung serta bermuhasabah terhadap kewajipannya. Kewajipan yang paling utama adalah setiap Muslim dituntut untuk mengimani bahawa al-Quran adalah kitab suci daripada Allah, bukannya ciptaan manusia mahupun ciptaan Rasulullah. Justeru, beriman kepada al-Quran termasuk salah satu Rukun Iman yang enam yang menjadi tonggak utama kepada al-Din Islam yang diredai Allah.Al-Quran adalah sumber kebenaran yang tidak ada keraguan padanya sebagai jalan hidup yang lurus.
Perkara ini kerana al-Quran sarat dengan panduan hidup yang berupaya memajukan Muslim dalam semua lapangan hidup meliputi akhlak, kebudayaan dan ilmu pengetahuannya. Dengannya umat Islam dapat mencapai peringkat yang tidak dapat ditandingi oleh umat lain. Ringkasnya, al-Quran adalah sumber ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu hingga terbentuk satu prinsip kerukunan hidup yang serba lengkap di dunia dan di akhirat kelak. Dalam kata lain, al-Quran sewajibnya diangkat sebagai teras dan sumber rujukan utama yang mendasari seluruh aspek kehidupan manusia.
Malangnya, al-Quran kini sekadar hiasan yang tergantung pada dinding rumah atau hiasan yang dipamerkan pada perabot mahal, kononnya sebagai ayat pelindung diri. Makna beriman kepada al-Quran tidak hanya memadai sekadar itu, malah menuntut beberapa ciri atau kewajipan yang menjadi pelengkap kepada pengertian beriman kepada al-Quran.
Selain itu, setiap Muslim dianjurkan agar sentiasa membaca al-Quran selaras dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran (membaca dan memahami maknanya) dan mengajarkannya." (Hadis riwayat Bukhari) Perlu ditegaskan bahawa membaca al-Quran bukan saja sangat digalakkan pada Ramadan, bahkan dianjurkan pada bulan lain sepanjang tahun. Begitu pun, Muslim digalakkan meningkatkan kuantiti dan kualiti pembacaan al-Quran pada Ramadan kerana Allah menyediakan ganjaran yang berlipat ganda kepada orang yang melakukan amalan soleh dalam bulan mulia ini. Di samping itu, adab dan peraturan membaca al-Quran perlu dipelihara.
Setiap Muslim juga dituntut memperelokkan bacaannya agar ia termasuk dalam koleksi amalan soleh. Rasulullah kerap bertadarus al-Quran bersama dengan Jibril di sepanjang malam Ramadan. Selain membaca, setiap Muslim dituntut untuk memahami dan menghayati maksud, pengertian dan pengajaran yang tersurat dan tersirat dalam al-Quran. Hal ini bertepatan dengan agenda al-Quran sebagai pembawa berita gembira dan amaran kepada warga alam sejagat. Di samping itu, al-Quran adalah kitab Allah yang mengandungi hukum-hakam dan panduan hidup yang lengkap bagi menjamin kelangsungan warga insan ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan sejati. Kefahaman yang tepat dan betul kepada isi kandungan al-Quran amat penting dalam mencorakkan tasawwurnya kepada Islam serta dalam usaha memerangi ajaran sesat dan kebatilan yang melingkari minda dan hati umat manusia.
Untuk mencapai ke arah itu, al-Sunnah juga wajar diangkat sebagai sumber rujukan utama untuk menerang dan menjelaskan kepada apa-apa maksud yang kabur dalam al-Quran. Pendek kata, al-Quran dan sunnah seumpama teman serangkai yang tidak dapat dipisahkan sama sekali sebagai rujukan utama dalam setiap bidang kehidupan manusia. Kefahaman yang mendalam dengan al-Quran akan menghampirkan seseorang Muslim kepada Allah, di samping akan memantapkan keimanannya kepada Allah. Hal ini seperti firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) adalah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jugalah mereka berserah." (Surah al-Anfal, ayat 2)
Islam turut memerintahkan agar setiap isi kandungan al-Quran diterjemahkan dalam realiti kehidupan ummah. Perkara ini bermakna setiap Muslim dituntut melaksanakan segala ajaran atau perintah al-Quran dan pada masa sama menjauhi segala larangan yang termaktub dalamnya. Allah menurunkan al-Quran sebagai pedoman yang menyuluh hidup manusia ke arah jalan lurus. Al-Quran juga menyediakan penawar dan jalan penyelesaian ampuh bagi segala masalah dan kemelut yang menghimpit umat manusia dalam kehidupan mereka. Selain itu, ada himpunan hukum-hakam yang juga tuntutan kefarduan kepada setiap Muslim yang mukallaf sebagai manifestasi makna pengabdian mutlak kepada Allah.
Pendek kata, Islam bukan slogan atau retorik yang bersifat lahiriah atau teori yang dilaung-laung di sana sini tanpa penghayatan amali. Sebaliknya, Islam adalah addin yang menyepadukan antara teori dan amali, antara slogan dan praktikal bagi merealisasikan agendanya untuk menegakkan kalimah tauhid di bumi Allah ini. Akhirnya, setiap Muslim juga berkewajipan untuk mengajar, menyampai dan mendakwahkan al-Quran kepada sekalian manusia yang menghuni alam ini.
Rasulullah juga memperingatkan dan memuji umatnya yang mempelajari al-Quran serta mengajarkannya kepada manusia lain. Bukankah Rasulullah pernah melantik sahabatnya Mus'ab bin Umair sebagai da'ie Rasulullah ke Madinah? Beliau digelar Muqri' kerana telah mengajar dan menyampaikan ajaran al-Quran kepada masyarakat Madinah ketika itu.
Mulut perlu bersih ketika baca kitab suci
AL-QURAN adalah kitab suci dan wahyu Allah perlu dibaca mengikut adabnya. Perkara ini supaya bacaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk dirinya dan pendengarnya serta mendapat balasan daripada Allah terhadap ibadat membaca al-Quran.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin memberi garis panduan adab membaca al-Quran iaitu adab zahir dan batin.Adab batin adalah memahami kalimah yang dibaca, ada rasa penghayatan membesarkan kalimah Allah, menghadirkan hati sepenuhnya ketika membaca, memperhalus perasaan dan jiwa.
Dengan adab batin yang difahami, kandungan al-Quran yang dibaca dengan perantaraan lidah itu dapat bersemi dalam jiwa dan meresap dalam lubuk hati.Untuk membesarkan kalimah Allah seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali, seseorang itu mesti menghadirkan dalam hati betapa keagungan Allah yang mempunyai kalimah itu.Pembaca mesti memahami bahawa apa yang dibacanya itu bukan tutur kata manusia, tetapi kalamullah azza wa jalla.
Membesarkan kalamullah itu bukan saja ketika membacanya, malah menjaga tulisan al-Quran.Adab zahir pula begitu banyak dan perlu dipatuhi di antaranya:
· Membaca al-Quran hendaklah dalam keadaan bersih dan berwuduk. Al-Quran hendaklah diambil dengan tangan kanan, sebaik-baiknya hendaklah dipegang dengan kedua-dua belah tangan;
· Al-Quran hendaklah dibaca di tempat yang bersih seperti di rumah atau masjid. Paling utama ialah di masjid;
· Mulut hendaklah bersih dan tidak berisi sisa-sisa makanan, kerana itu seseorang itu hendaklah bersugi sebelum itu;
· Disunatkan membaca al-Quran dalam keadaan menghadap kiblat. Membacanya dengan penuh khusyuk, tenang dan hendaklah berpakaian yang bersesuaian;
· Sebelum membaca, seseorang itu hendaklah berlindung kepada Allah, yang diistilahkan sebagai at-ta'awwuz. Selepas itu, baru membaca Bismillah. Dilakukan demikian agar ia dilindungi Allah daripada tipu daya iblis dan syaitan boleh menyebabkan hati dan fikiran tidak tenang ketika membaca yang boleh menghilangkan tumpuan.
Elok juga seseorang itu memohon kepada Allah agar hatinya menjadi terang dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah, bukakan bagi kami hikmat-Mu dan anugerahkan rahmat-Mu kepada kami daripada khazanah-Mu. Ya Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang."
· Al-Quran hendaklah dibaca dalam keadaan tertib iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang. Firman Allah bermaksud: "Dan bacalah al-Quran itu dengan tertib banyak memberi kesan pada jiwa, lebih mendatangkan ketenangan batin dan rasa hormat pada Allah yang menguasai alam. (Surah al-Muzamil, ayat 4)
· Bagi mereka yang berupaya menguasai makna dan maksud ayat yang dibaca, mereka hendaklah membacanya dengan penuh perhatian dan penghayatan. Cara pembacaan seperti inilah yang dikehendaki. Lidahnya menuturkan bacaan kalamullah, hatinya turut memerhatikan dan memikirkan maksud yang terkandung dalam ayat tadi.Dengan ini, kita akan memperoleh penghayatan bacaan yang sebenar. Keadaan seperti ini akan mendorong untuk mengamalkan isi al-Quran.Firman Allah bermaksud: "Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran? Kalau al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak dalamnya." (Surah an-Nisa, ayat 82)
Mereka yang dapat memahami kandungan al-Quran berupaya melakukan ketentuan terhadap ayat yang dibaca. Ketika membaca pada ayat tasbih, maka lidahnya akan menyebut tasbih dan tahmid.Apabila membaca ayat doa dan istighfar, maka pembaca akan berdoa dan memohon keampunan. Apabila membaca ayat azan, dia akan memohon perlindungan Allah. Apabila membaca ayat rahmat, dia akan meminta rahmat, begitulah seterusnya.
Ia boleh dilakukan dengan ucapan lidah atau hanya dalam hati.Jelasnya, ketika membaca al-Quran seseorang itu hendaklah membaca dengan penuh penghayatan, terutama oleh mereka yang memahami maknanya secara terperinci atau keseluruhan.Bacaan yang dituturkan dengan lidah itu akan melahirkan keinsafan membolehkan si pembaca lebih menghayati keagungan Allah, terasa dirinya begitu kerdil dan tidak mempunyai maya. Dari sinilah lahirnya rasa takut kepada Allah.







Al Quran wajar dibaca bukan dijadikan hiasan 